KUALA LUMPUR:Walaupun penamatan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura baru-baru ini merupakan satu perkembangan negatif untuk sektor pembinaan, ini hanya isu sementara, menurut Kenanga Investment Bank Bhd.  

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor tersebut, berikutan ia menjangka pemulihan daripada COVID-19 akan meningkat pada 2021, sekali gus menetapkan naratif untuk reaksi harga saham berikutan aliran berita dalam persekitaran pasaran yang mempunyai mudah tunai.

Unjuran utamanya pada 2021 merangkumi pelancaran pembangunan hartanah yang lebih tinggi yang memberi manfaat kepada kontraktor bangunan, permodalan kecil mengatasi permodalan besar dalam prestasi harga saham berikutan apungan yang lebih ketat dan pendapatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang kukuh.

"Kami negatif (ke atas penamatan HSR) berikutan tanpa HSR, ia akan memberi impak kepada perancangan projek itu dalam jangka sederhana, dan banyak pembangunan di sekitar jajaran HSR kini dijangka mengambil tempoh yang lebih lama untuk direalisasikan, seperti Bandar Malaysia.

"Bagaimanapun, kami mendapati terdapat aspek lain mengenainya dan ia mungkin tidak seteruk seperti yang dilihat.

"Tanpa HSR, kami mendapati fiskal kerajaan akan menjadi kurang terhad, menyediakan peruntukan yang lebih tinggi untuk projek berimpak tinggi yang lain seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3)," katanya dalam nota.

MRT3 mempunyai nilai tentatif antara RM45 bilion dan RM60 bilion, tetapi disebabkan bimbang mengenai kewangan kerajaan, nilai yang disebut telah dikurangkan kepada RM20 bilion berikutan pengurangan skop dan liputan.

"Oleh itu, jika bajet HSR yang ditamatkan itu disalurkan semula kepada MRT3, kami akan melihatnya secara positif berikutan kami yakin impak daripada MRT3 selepas siap akan lebih cepat dan berkesan kepada ekonomi berbanding HSR," katanya.

Projek HSR ditamatkan memandangkan kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan berhubung perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia susulan perjanjian projek itu berakhir pada 31 Dis 2020.

Dalam kenyataan bersama oleh Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong berkata, kerajaan Malaysia mencadangkan beberapa perubahan kepada projek HSR kerana kesan pandemik COVID-19 terhadap ekonomi Malaysia.

"Kedua-dua kerajaan telah mengadakan beberapa perbincangan berhubung perubahan ini dan belum dapat mencapai persetujuan. Oleh itu, Perjanjian HSR telah luput pada 31 Dis 2020," katanya.

-- BERNAMA